Jumaat, 20 Jun 2014

Buat persediaan hadapi kematian

 
 

 Sesungguhnya mati itu adalah benar, kenikmatan dan seksa di alam kubur adalah benar, pertanyaan Munkar dan Nankir adalah benar.
"Didiklah hati yang terlalu memikirkan kesenangan hidup di dunia kerana akhirnya kita akan melupakan hakikat kematian bahkan membawa kepada penyakit takutkan kematian"

Sememangnya kita melalui saat waktu malam dengan bersenda gurau bersama anak dan isteri, merasai nikmat kehidupan seolah-olah tiada penghujungnya dan merehatkan badan selepas penat mengharungi liku-liku kehidupan di siang hari.

Namun, janganlah kita lupa kepada satu malam yang pasti akan tiba. Itulah malam pertama di alam kubur yang belum pasti keadaannya. Orang soleh sering membayangkan malam pertama di alam kubur dan menangis memikirkan nasib mereka di sana.

Leka dunia, tak peduli kematian

Bagi yang masih leka dengan dunia, langsung tidak ambil peduli mengenai kematian, apatah lagi merenungi bagaimana nasibnya di sana nanti. Ingatlah firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 78 bermaksud:
“Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?”

Marilah kita mempersiapkan bekalan menghadapi alam kubur dengan melakukan amal soleh dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya ia akan menjadi penerang kegelapan dan pendamping di kala menghadapi malaikat Munkar dan Nakir yang bengis dan pemarah.

Bukan hanya dengan amal soleh, lakukan juga beberapa persediaan antaranya segerakan bertaubat, memperbanyakkan mengingati mati, meminta maaf sesama manusia dan memaafkan, melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan memupuk cinta kepada akhirat melebihi dunia.

Justeru, didiklah hati yang terlalu memikirkan kesenangan hidup di dunia kerana akhirnya kita akan melupakan hakikat kematian bahkan membawa kepada penyakit takutkan kematian.

Perlu diingatkan, sebelum tiba saat dipisahkan roh daripada jasad, bersegeralah menyelesaikan hutang, menulis wasiat dan mengembalikan harta amanah.

Jika tidak mampu menyelesaikan hutang atau tidak sempat mengembalikan harta amanah, tinggalkan wasiat kepada waris di samping wasiat harta pusaka. Perkara inilah yang sering diabaikan sehingga menjadi kesusahan kepada ahli waris menyelesaikannya.

Alangkah ruginya jika kita termasuk dalam kalangan mereka yang leka tanpa berbuat bekalan menghadapi mati. Usahlah dibanggakan dengan kekayaan dunia kerana harta yang akan dibawa hanya kain kapan yang tidak berjahit.

Usahlah dibanggakan dengan rumah besar dan mewah kerana tempat tinggalnya nanti hanyalah sebuah lubang sempit dan gelap gelita.

Usahlah dibanggakan dengan kereta mewah dan mahal kerana kenderaan yang akan dinaiki ke kubur hanyalah sebuah keranda.

Justeru, ayuh kita meletakkan Allah sebagai keutamaan dalam setiap perkara agar Allah juga memberikan keutamaan dan keistimewaan kepada kita apabila kita datang menghadap-Nya nanti.

Kubur boleh jadi taman Syurga atau lubang neraka

Ingatlah lubang kubur akan menjadi salah satu daripada taman Syurga atau salah satu daripada lubang neraka. Hanya amal ibadah, jariah, sedekah, ilmu yang bermanfaat dan setiap perbuatan baik di dunia yang dapat menentukan nasib kita ‘di sana’.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

* Bersedia untuk menghadapi kematian yang pasti akan tiba saatnya.

* Buat sebaik mungkin setiap amal ibadah wajib dan sunat, di samping memperbanyakkan amal soleh, jariah dan sebagainya sebagai bekalan menuju ke alam barzakh.

* Suburkan perasaan cinta kepada akhirat melebihi dunia supaya hilang rasa takut untuk mati.

Firman Allah SWT di dalam surah al-An’am ayat ke-61 bermaksud:
 
“Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).”

Sumber: Daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Tiada ulasan: