Khamis, 27 November 2014

Kisah seorang raja dan bendaharanya



Al-Kisah tersebutlah kisah seorang raja dalam sebuah negeri yang kegemarannya ialah memburu. Suatu pagi keluarlah rombongan diraja dari istana yang terdiri daripada Raja, Datuk Bendahara, Temenggung dan dua orang pengawal untuk pergi memburu ke hutan.Bendahara raja adalah seorang yang 'alim dan warak serta selalu menasihati raja tentang hal ehwal negara.

Setibanya di hutan, baginda pun mula berburu.Satu demi satu anak panahnya dilepaskan satu pun tidak mengena.Setiap kali anak panah baginda tidak mengena sasaran, bendahara terus berkata kepada Raja "Sabar tuanku,barang kali ada hikmah disebaliknya". Pada awalnya baginda masih boleh lagi menerima nasihat yang sama tetapi lama kelamaan baginda murka seraya berkata "kamu ini asal beta panah tidak mengena kamu asyik berkata ada hikmah!ada hikmah!ada hikmah! sekali lagi kamu berkata macam tu beta akan penjarakan kamu " lalu datuk bendahara pun mendiamkan diri.

Setelah berkali-kali memanah tidak mengena, raja pun berang lalu mengambil anak panahnya yang terakhir menarik sekuat hati dan melepaskannya.Disebabkan tarikan yang kuat dan melepaskan anak panah dengan mengejut tali busur panahnya itu telah memotong ibu jari baginda lalu terputuslah jarinya.Bagi menenangkan raja bendahara pun berkata : "Bersabarlah tuanku, pasti ada hikmah disebalik perkara ini berlaku " Raja bertambah murka lalu berkata "Bukankah beta telah memerintahkan kamu supaya jangan menyebut lagi perkataan "ada hikmah" itu? Pengawal!Tangkap bendahara ini dan masukkan dia ke dalam penjara!!! "

Setelah beberapa lama, sekali lagi raja keluar memburu di hutan.Semasa di dalam hutan baginda telah berjaya memanah seekor kijang malangnya panahannya itu tidak berjaya mematikan kijang itu. Baginda pun mengejar kijang itu sehingga jauh ke dalam hutan. Disebabkan terlalu leka mengejar kijang tersebut baginda telah tersesat.Berita kehilangannya telah tersebar ke seluruh negara, seluruh rakyat telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat malangnya selama tiga hari tiga malam pencarian baginda menemui jalan buntu, baginda tidak ditemui walaupun pelbagai cara digunakan. Setelah hampir seminggu baginda hilang di hutan baginda pun ditemui dalam keadaan sihat.

Apabila baginda pulang ke istana, baginda telah menitahkan supaya datuk bendahara dibebaskan kerana baginda ingin menceritakan suatu kejadian yang menimpa dirinya ketika baginda hilang di hutan kepada bendahara. 

Raja : "Datuk bendahara..."

Bendahara : "Tuanku...!"

Raja : "Semasa beta tersesat di dalam hutan,beta telah ditangkap oleh sekumpulan orang asli yang membawa tombak dan bercawat. Setelah beta ditangkap beta dibawa ke sebuah kampung orang asli itu dan beta pun dipenjarakan. Beta diberi layanan yang baik,dimandikan oleh gadis-gadis jelita dan diberi makanan yang secukupnya beta rasa sungguh bahagia sehinggakan beta terlupa seketika akan kehidupan beta di sini. Setelah beberapa hari,beta telah didatangi oleh ketua suku kaum orang asli itu.Dia telah datang dan memeriksa badan beta,mereka bercakap bersama-sama mereka sambil mengangguk-angguk.Beta pun di bawak keluar dari penjara dan beta dinaikkan di atas kayu palang.Baru beta faham, semua layanan yang diberikan kepada beta selama ini disebabkan beta akan menjadi korban persembahan kepada dewa-dewa mereka.Beta menjadi tersangat takut,sebelum beta nak dibunuh ada seorang ketua suku yang lain sekali lagi datang memeriksa badan beta,mungkin buat kali terakhir. Tiba-tiba,ketua suku kaum itu memanggil kawannya dan menunjuk-nunjukkan jari beta yang terputus tempoh hari lalu memerintahkan beta dilepaskan.Beta bersyukur kepada Allah kerana beta telah terselamat dari maut."

Bendahara : "syukurlah tuanku, itu semua ada hikmahnya..."

Raja : "Kamu ni dari dulu lagi asyik ada hikmah,ada hikmah...kalau kamu tahu apakah hikmah disebalik kejadian semuanya ini?

Bendahara : "Benar tuanku, adapun hikmah tuanku terputus jari ialah dengan jari terputus itulah tuanku telah terselamat dari menjadi korban orang-orang asli itu.

Raja : "Baiklah, jika begitu apakah pula hikmah kamu beta penjarakan?"

Bendahara : "Itu adalah hikmah yang terbesar tuanku, jika tuanku tidak penjarakan patik maka patiklah yang akan menjadi korban orang-orang asli itu"

Moral : Setiap yang berlaku adalah ketentuan dari Allah yang mana kemungkinan ketentuan itu adalah untuk menyedarkan kita atau mempunyai hikmah yang cukup besar yang hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui apakah hikmah disebaliknya

Wallahu'alam...

2 ulasan:

suriani berkata...

best ini kisah raja and bendahara.. mmg semua ada hikmahnya.. hehehe.. i loike this story so much .. keep up the good work...

JomKawtim berkata...

:) Terima kasih.teruskan membaca mudah-mudahan memberi manfaat kepada kita semua