Satu masa lalu terdapat seorang ahli
ibadah yang bernama Juraij. Beliau banyak beribadah sehingga didirikan
sebuah biara untuknya, dan dia tinggal di dalamnya. Suatu ketika ibunya
datang pada saat dia sedang mendirikan solat. Ibunya memanggilnya :
“Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya : “Wahai ALLAH, ibuku
(memanggil) padahal aku bersolat.”Juraij memilih untuk meneruskan
solatnya sehingga ibunya pergi.
Pada keesokan hari ibunya datang
semula dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya : “Wahai
Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya : “Wahai ALLAH, ibuku (memanggil)
padahal aku bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga
ibunya pergi.
Pada keesokan hari ibunya datang semula (untuk
kali ketiga) dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya :
“Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya : “Wahai ALLAH, ibuku
(memanggil) padahal aku bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan
solatnya sehingga ibunya pergi. Lantas ibunya berdoa : “Ya Allah!
Janganlah Engkau matikan Juraij melainkan setelah dia melihat
wajah-wajah pelacur!”
Sejak saat itu kaum Bani Israil mula
berbincang berkenaan Juraij dan ibadahnya. Ada seorang pelacur yang
berdandan cantik berkata: “Jika kalian kehendaki, aku akan menggodanya
untuk kalian.” Maka pelacur itu menawarkan diri kepada Juraij, tetapi
Juraij sama sekali tidak mengendahkannya. Lalu pelacur tersebut
mendatangi seorang pengembala kambing yang sedang berteduh di biara
Juraij, menyerahkan diri kepadanya sehingga pengembala itu
menyetubuhinya.Pelacur tersebut menjadi hamil. Ketika anak itu
dilahirkan, pelacur tersebut mendakwa : “Ini adalah anak Juraij.” Maka
orang ramai mendatangi Juraij, memaksanya keluar, menghancurkan biaranya
dan memukulnya. Juraij bertanya : “Kenapakah kalian melakukan semua
ini?” Mereka menjawab : “Engkau telah melacur dengan pelacur ini
sehingga dia melahirkan anak kamu!” Juraij bertanya : “Di manakah anak
tersebut?”
Lalu bayi itu dibawa kepada Juraij. Dia berkata :
“Biarkan aku, aku ingin bersolat terlebih dahulu.” Maka Juraij bersolat.
Setelah selesai, Juraij mendatangi bayi tersebut, memukul di perutnya,
lalu bertanya: “Wahai bayi, siapakah ayah kamu?” Bayi itu menjawab :
“Ayahku adalah seorang pengembala kambing.”
Tatkala mendengar jawapan tersebut, orang ramai kembali kepada Juraij, menyentuhnya dan menciumnya (kerana mereka telah bersalah dalam menuduhnya) dan berkata : “Kami akan membangunkan semula biara kamu yang kami hancurkan dengan emas.” Juraij menjawab: “Tidak, tetapi bangunkanlah ia dengan tanah sebagaimana asalnya.”
Demikian
sebuah kisah benar yang berlaku kepada umat terdahulu yang diceritakan
oleh Rasulullah SAW... Ia diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab
sahihnya, hadis no : 2550. Tujuan d kemukakan hadis di atas bukan untuk
menganjurkan ibadah di biara, kerana itu hanya khusus kepada syariat
umat terdahulu dan bukan kepada kita, umat NABI Muhammad SAW... Bagi
kita, keluar ke khalayak masyarakat untuk menyeru ke arah kebaikan dan
menegah daripada kemungkaran adalah lebih utama. Tujuannya juga bukan
untuk membicarakan fenomena bayi yang dapat bercakap ketika masih di
buaian, ia adalah karamah yang ALLAH SWT berikan kepada hamba-hamba-Nya
yang terpilih demi sesuatu maslahat yang dikehendaki-Nya.
Tujuan d
sini bagi menerangkan bahawa antara solat dan ibu, ibu memiliki
kepentingan yang lebih tinggi di dalam neraca Islam. Ini kerana berbuat
baik kepada ibu – sekalipun sekadar menyahut panggilannya – adalah
ibadah sebagaimana mendirikan solat adalah ibadah. Di antara dua ibadah
ini, berbuat baik kepada ibu adalah lebih utama. Namun ini tidaklah
bermakna seseorang itu tidak perlu solat. Dia tetap solat, hanya waktu
solatnya disesuaikan dengan kewajipan berbuat baik kepada ibu. Sebagai
contoh dalam kes di atas, Juraij hanya perlu menyahut panggilan ibu dan
memenuhi hajatnya, lalu setelah itu menyambung kembali solatnya.
Bagi menguatkan kedudukan ibu di dalam neraca Islam, berikut d
kemukakan sebuah lagi perbandingan. Sama-sama kita ketahui bahawa turun
ke medan jihad bagi memerangi musuh dan menegakkan Islam adalah amalan
yang utama lagi penting. Akan tetapi adakah ia lebih utama dan penting
daripada berbuat baik kepada ibu?
Pada zaman Rasulullah SAW.,
seorang sahabat bernama Jahimah r.a. datang menemui baginda meminta
pandangan untuk ikut serta dalam ekspedisi jihad. Rasulullah SAW
bertanya : “Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Jahimah menjawab: “Ya.”
Lalu Rasulullah SAW bersabda : “Tinggallah bersamanya kerana
sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.” [Shahih Sunan
al-Nasai, no : 3104]
Di samping kita memperhatikan kepentingan
berbuat baik kepada ibu, tidaklah bermakna kita mengabaikan ayah. Islam
tetap menekankan berbuat baik kepada ibu dan ayah. Hanya jika
dibandingkan antara kedua-duanya, maka berbuat baik kepada ibu adalah
tiga kali lebih penting berbanding berbuat baik kepada ayah.
Dalam sebuah hadis, pasti para pembaca sekalian pernah mendengarnya,
seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya : “Siapakah
manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab : “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi : “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab : “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi : “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab : “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab : “Ayah kamu.” [Shahih al-Bukhari, no : 5971]
sumber: FB Nur Cahaya
sumber: FB Nur Cahaya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan