Ahad, 9 Oktober 2011

Belanjawan mampu dipenuhi - Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak



KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kerajaan tidak akan mengumumkan sejumlah peruntukan yang besar melalui Bajet 2012 jika tidak berkemampuan untuk melaksanakannya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerajaan bukan sahaja yakin bahkan mempunyai keupayaan kewangan untuk menjayakan belanjawan seperti yang dibentangkan di Dewan Rakyat , semalam.


Sebaliknya beliau berkata, pengumuman Bajet 2012 itu akan menjadi satu tindakan yang membunuh karier politik beliau sendiri sekiranya ia tidak mampu dilaksanakan.
"Kalau tak ada duit takkan saya berani bentangkan semalam. Saya akan melakukan satu perbuatan bunuh diri dari segi politik kalau saya bentang bajet yang tak boleh dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Kundang, Rawang, hari ini.


Beliau sebelum itu melawat cadangan jalan pintas yang menghubungkan Kampung Baru Kundang dengan Bandar Tasik Puteri, Rawang yang akan memanfaatkan kira-kira 10,000 pengguna.Najib berkata, belanjawan negara itu bukan sekadar janji bahkan dibuat berdasarkan fakta yang diketahui oleh kerajaan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk pegawai kerajaan, pakar di Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Unit Perancang Ekonomi.
"Tidak mungkin mereka ini tidak tahu apa yang patut dibentang dari segi fakta untuk keputusan saya dan kerajaan," katanya.


Sehubungan itu beliau meminta rakyat di negara ini menilai jaminan kerajaan itu apabila ia dilaksanakan kelak.Pada kunjungannya di pekan Rawang, Najib turut membidas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan Bajet 2012 sebagai tidak realistik dan dicedok daripada Buku Jingga.

"Kononnya kita tiru Buku Jingga mereka, lepas itu dia kata pula bajet ini tidak realistik. Kalau kita tiru buku dia, maknanya bajet dialah yang tidak realistik."Sebaliknya saya nak tahu apa dia (Anwar) akan kata kalau kita dapat melaksanakannya. Itu yang akan menjawab segala-galanya," katanya.


Tambah beliau, bajet luar biasa yang akan memanfaatkan seluruh lapisan masyarakat di negara ini itu pada masa yang sama telah membuatkan pembangkang tidak terjawab. Ketika ditanya mengenai angka peruntukan Bajet 2012 sebanyak RM232.8 bilion yang hampir menyamai jumlah Belanjawan Bayangan Pembangkang (RM220 bilion), Najib menjelaskan, jumlah itu disediakan berdasarkan kemampuan kerajaan.


"Itu kena tanya dia (pembangkang) sebab bajet kita ini dibentang secara telus dan orang tahu bajet kita. Barangkali dia (Anwar) pun tahu bajet kita. "Apa yang kita buat adalah di dalam lingkungan bajet dan kemampuan kita juga telah diberitahu," katanya.


Petikan Utusan Malaysia : 09/10/2011-Ahad


P/S:Alhamdulillah....Mudah-mudahan negara kita bertambah aman dan makmur

Tiada ulasan: