Khamis, 13 Oktober 2011

Wajib Mendidik Hati Takutkan ALLAH






Telah berkata sebahagian dari ulama’ salaf ;“Takut kepada Allah SWT dapat menutup mata hati orang yang punya rasa takut tersebut dari terpaut dengan kecintaan terhadap dunia yang penuh dengan tipu daya”


Allah SWT juga telah berjanji untuk mengurniakan syurga kepada hambaNya yang mempunyai rasa gerun dan takut kepadaNya. Allahu Jalla Jalaaluh berfirman;“Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya itu dua syurga” - surah Ar Rahman : 46


Berkata al Imam Mujahid ‘alaihi rahmatulLah ;“Di dalam ayat ini, dijelaskan bahawa Allah SWT akan mengadili setiap jiwa (makhluk). Sesiapa yang melakukan sesuatu, lantas dia takut untuk mempertanggungjawabkan perbuatannya di hadapan Allah SWT di akhirat kelak, maka dia berhak mendapat syurga Allah SWT”Imam Mujahid menyambung lagi ;“Dia (orang yang dimaksudkan di dalam ayat di atas) adalah seorang yang melakukan dosa, lalu teringat bahawa perbuatannya kelak dipertanggungjawabkan ketika mengadap Allah SWT, lantas dia meninggalkan perbuatan tersebut”


Imam Mujahid juga menyebut ;

“Dia (orang yang dimaksudkan di dalam ayat di atas) juga adalah seorang hamba yang merasa bingung dan resah dengan maksiat yang dilakukannya, lantas segera ia teringat kepada Allah SWT dan meninggalkan perbuatan keji tersebut kerana Allah”


Diriwayatkan daripada al Hasan bahawa ia berkata ;

“Syurga berkata : “wahai Tuhanku, aku ini sebenarnya diciptakan untuk apa?”, Allah lalu berfirman: “Untuk orang-orang yang menyembahku dan takut kepadaKu”.Wahab ibn Munabbih berkata ;“Tidak ada yang membuat Allah SWT lebih senang daripada disembah dengan disertai rasa takut kepadaNya”


Allah Ta’ala berfirman: “Dan orang-orang yang beriman itu sama meniarap dengan dagunya sambil menangis dan al-Quran itu menambah ketundukan mereka.” (al-lsra’: 109)


Allah Ta’ala berfirman lagi:“Adakah dari pembicaraan – al-Quran – ini engkau semua menjadi hairan, lalu engkau semua ketawa dan tidak menangis?” (an-Najm: 59-60)


445. Dari Ibnu Mas’ud r.a., katanya: “Nabi s.a.w. bersabda kepadaku: “Bacakanlah al-Quran untukku.” Saya berkata: “Ya Rasulullah, apakah saya akan membacakan al-Quran itu, sedangkan ia diturunkan atas Tuan?” Beliau s.a.w. bersabda: “Saya senang kalau mendengarnya dari orang lain.”Saya lalu membacakan untuknya surah an-Nisa’, sehingga sampailah saya pada ayat- yang ertinya: “Bagaimanakah ketika Kami datangkan kepada setiap ummat seorang saksi dan engkau Kami jadikan saksi atas ummat ini?” – Surat an-Nisa’ 41.Setelah itu Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: “Sudah cukuplah bacaanmu sekarang.” Saya menoleh kepada beliau s.a.w., tiba-tiba kedua mata baginda itu meleleh airmatanya.” (Muttafaq ‘alaih)


446. Dari Anas r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. berkhutbah, tidak pernah saya mendengar suatu khutbah pun yang semacam itu -kerana amat menakutkan. Baginda Nabi s.a.w. bersabda:“Andaikata engkau semua dapat mengetahui apa yang saya ketahui, nescaya engkau semua akan ketawa sedikit dan menangis banyak-banyak.” Anas berkata: “Maka para sahabat Rasulullah s.a.w. sama menutupi mukanya sendiri-sendiri dan mereka itu menangis terisak-isak.” (Muttafaq ‘alaih)


447.Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:“Tidak akan masuk neraka seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga susu itu dapat kembali ke teteknya – menunjukkan suatu kemustahilan. Tidak akan berkumpullah debu fi-sabilillah itu* dengan asap neraka Jahanam.”Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.


448.Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:“Ada tujuh macam orang yang akan dinaungi oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya sendiri – yakni hari kiamat, iaitu :


1. Imam – kepala atau pemimpin – yang adil.


2. Pemuda yang membesar -sejak kecilnya – dalam beribadat kepada Allah,


3. Orang yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid-masjid


4. Orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah,


5. Orang lelaki yang diajak oleh wanita bangsawan dan berparas cantik, lalu ia berkata: “Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah,”


6. Orang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu disembunyikan sedekahnya itu


7. Orang yang mengingat pada Allah di waktu keadaan sunyi lalu melelehlah airmata dari

kedua matanya.disebabkan takut pada Allah”


(Muttafaq ‘alaih)


449.Dari Abdullah bin asy-Syikhkhir r.a., katanya: “Saya mendatangi Rasulullah s.a.w. dan baginda sedang bersembahyang dan dari dadanya itu terdengar suara bagaikan mendidihnya kuali kerana beliau sedang menangis.”


Hadis hasan shahih yang diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Tirmidzi dalam asy-Syamail dengan isnad yang shahih.


450. Dari Anas r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Ubay bin Ka’ab r.a., demikian:“Sesungguhnya Allah Azzawajalla menyuruh padaku supaya saya bacakan untukmu ayat ini – ertinya: “Tidaklah akan dapat meninggalkan orang-orang kafir dari ahlul-kitab dan musyrik itu – akan kepercayaannya yang sesat – sampai datang kepada mereka keterangan yang jelas. “Albayyinah” 1-8. Ia berkata: “Apakah Allah menjelaskan namaku pada Tuan?” Beliau s.a.w. bersabda: “Ya.” Kemudian Ubay r.a. menangis.” (Muttafaq ‘alaih)Dalam sebuah riwayat lain disebutkan: “Maka Ubay mulai menangis.” – Ubay adalah seorang dari golongan sahabat Anshar.


Keterangan:

Sebabnya Ubay r.a. menangis ialah kerana terharu hatinya, gembira bercampur rasa takut kepada Allah Ta’ala, kerana merasa masih kurang kebaktian serta ketaatan yang dilakukan olehnya. Ada pun rasa terharunya itu di antaranya disebabkan kerana dalam surat “Albayyinah” bahagian terakhir dijelaskan bahawa orang-orang semacam sahabat Ubay r.a. itu amat diredhai oleh Allah Ta’ala dan orang itu pun benar-benar sudah redha kepadaNya. Manakala seseorang itu telah diredhai oleh Allah, maka tiada lain tempatnya di akhirat nanti, kecuali syurga.


451. Dari Anas r.a. pula, katanya: “Abu Bakar berkata kepada Umar radhiallahu ‘anhuma sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w.: “Mari kita bersama-sama berangkat ke tempat Ummu Aiman untuk menziarahinya, sebagaimana halnya Rasulullah s.a.w. juga menziarahinya.” Ketika keduanya sampai di tempat Ummu Aiman, lalu wanita ini menangis. Keduanya berkata: “Apakah yang menyebabkan engkau menangis? Tidakkah engkau ketahui bahawasanya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik untuk Rasulullah s.a.w.” Ummu Aiman lalu menjawab: “Sesungguhnya saya tidaklah menangis kerana saya tidak mengetahui bahawasanya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik untuk Rasulullah s.a.w., tetapi saya menangis ini ialah kerana sesungguhnya wahyu itu telah terputus – sebab Nabi s.a.w. telah wafat.” Maka ucapan Ummu Aiman menggerakkan hati kedua sahabat itu untuk menangis. Kemudian keduanya itu pun menangis bersama Ummu Aiman.


452. Dari Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Ketika sudah sangat geringnya Rasulullah s.a.w., lalu ditanyakan padanya siapa yang akan menjadi imam shalat. Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Perintahkanlah pada Abu Bakar, supaya ia bersembahyang menjadi imam orang-orang banyak!” Aisyah radhiallahu ‘anha berkata: “Sesungguhnya Abu Bakar itu adalah seorang lelaki yang lemah, jikalau membaca al-Quran, maka bacaannya terkalahkan oleh tangisnya – sehingga bacaannya tidak jelas.” Beliau s.a.w. lalu bersabda lagi: “Perintahkanlah pada Abu Bakar supaya bersembahyang sebagai imam!”Dalam lain riwayat disebutkan: Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Saya berkata: “Sesungguhnya Abu Bakar itu apabila mengganti kedudukan Tuan – sebagai imam, ia tidak dapat memperdengarkan suaranya kepada orang-orang banyak sebab tangisnya.” (Muttafaq ‘alaih)


453. Dari Ibrahim bin Abdur Rahman bin ‘Auf, bahawasanya Abdur Rahman bin ‘Auf r.a. diberi hidangan makanan, sedangkan waktu itu ia berpuasa, lalu ia berkata: “Mus’ab bin Umair itu terbunuh – fi-sabilillah. Ia adalah seorang yang lebih baik daripada-ku, tetapi tidak ada yang digunakan untuk mengafaninya – membungkus janazahnya – kecuali selembar burdah. Jikalau kepalanya ditutup, maka nampaklah kedua kakinya dan jikalau kedua kakinya ditutup maka nampaklah kepalanya. Selanjutnya untuk kita sekarang ini dunia telah dibukakan seluas-luasnya – banyak rezeki. Atau ia berkata: “Kita telah dikurniai rezeki dunia sebagaimana yang kita terima ini – amat banyak sekali. Kita benar-benar takut kalau-kalau kebaikan-kebaikan kita ini didahulukan untuk kita sekarang – sejak kita di dunia ini, sedang di akhirat tidak dapat bahagian apa-apa.” Selanjutnya ia lalu menangis dan makanan itu ditinggalkan. (Riwayat Bukhari)


454. Dari Abu Umamah, iaitu Shuday bin ‘Ajlan al-Bahili r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:“Tiada sesuatupun yang lebih dicintai oleh Allah Ta’ala daripada dua titisan dan dua bekas. Dua titisan itu ialah titisan airmata kerana takut kepada Allah dan titisan darah yang dialirkan fi sabilillah. Adapun dua bekas iaitu bekas luka fi-sabilillah dan bekas dalam mengerjakan kefardhuan dari beberapa kefardhuan Allah Ta’ala – semacam bekas sujud dan lain-lain.”Diriwayatkan Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.


Masih banyak lagi Hadisnya, di antaranya ialah Hadisnya al-’Irbadh bin Sariyah r.a., katanya: “Kita semua diberi nasihat oleh Rasulullah s.a.w., iaitu suatu nasihat yang semua hati dapat menjadi takut kerananya dan mata pun dapat melelehkan airmata.”


Wallahu'alam...




dan

Tiada ulasan: