Selasa, 11 November 2014

Kisah Dua Orang Budak Ansar Membunuh Abu Jahal

Abdul Rahman Bin 'Auf adalah seorang sahabat yang termasuk di dalam 10 orang yang dijamin syurga oleh Allah s.w.t melalui lidah Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Abdul Rahman Bin 'Auf berkata : "Semasa perang Badar saya berdiri di dalam barisan para pejuang-pejuang.Saya memerhati kiri dan kanan dan saya dapati ada dua orang budak dari kaum ansar.Ketika itu saya terfikir alangkah baiknya kalau saya berada di kalangan orang-orang yang kuat kerana apabila saat diperlukan saya akan berada bersama-sama menolong di antara satu sama lain.Di kiri dan kanan saya ada dua orang budak sahaja.Apakah yang mampu dilakukan oleh mereka?

Tiba-tiba salah seorang dari budak itu berkata kepada Abdul Rahman Bin 'Auf : "Pakcik,pakcik!Adakah pakcik mengenali Abu Jahal? "Ya,Pakcik kenal. Kamu nak buat apa dengan dia?" soal ku. Budak itu pun menjawab : "Sewaktu di medan perang nanti pakcik tunjukkanlah orangnya kepada kami ya! kami dengar dia telah mencaci Rasulullah s.a.w. Demi Zat yang memegang nyawa kami dalam genggamanNya jika kami menemuinya kami tidak akan meninggalkannya selagi dia tidak mati ataupun kami yang akan mati "

Mendengar kata-kata budak-budak itu Abdul Rahman Bin 'Auf menjadi kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kedua orang budak itu. Ketika tercetusnya perang, Abdul Rahman Bin 'Auf melihat Abu Jahal berlari-lari dia pun berkata : "Itulah dia orang yang kamu tanyakan kepada aku tentangnya!" Kedua-dua budak itu pun terus meluru ke arah Abu Jahal dengan pedang yang terhunus ditangan dan melawan sehingga Abu Jahal pun jatuh.

Setelah perang selesai, ada orang bertanya siapakah yang membunuh Abu Jahal maka berkata sahabat yang lain "Abdul Rahman Bin 'Auf!" ketika itu datanglah dua orang budak itu kepada Rasulullah s.a.w dan berkata "Kamilah yang membunuh Abu Jahal Ya Rasulullah, ini buktinya!" mereka telah menunjukkan pedang meraka yang masih mempunyai kesan darah Abu Jahal . Maka berkatalah Rasulullah s.a.w "Kamu berdualah yang telah membunuh Abu Jahal"

Tiada ulasan: