Selasa, 2 Disember 2014

HADIS AKHIR ZAMAN: BAHAYA KEMEWAHAN

Daripada Ali b Abi Thalib RA, bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah melihat kepadanya baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh Ibnunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersabda:
"Bagaimana keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Ka'bah?" Maka jawab sahabat: "Wahai Rasulullah, tentunya diwaktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki." Lalu Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu."
(Hadis Riwayat Tirmidzi)

KETERANGAN HADIS
Dalam hadis ini Nabi kita, Muhammad sallallahu alaihi wasallam menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi-petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihiasi dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita jua mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam mengatakan, keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari berbuat ibadat kepada Allah, sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi. Tetapi, bila di banding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari berbuat ibadat. Kita sibuk menghimpunkan harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambahkan lebih banyak harta lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam: "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukan ke dalam tanah (menemui kematian)."

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi disaat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan. Oleh itu, janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal dan haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan.Biarlah kita mencai mata benda dunia pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolongorang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

sumber : FB Abu Hanifah

Tiada ulasan: