Jumaat, 16 Januari 2015

PELIHARALAH LIDAHMU!

Pepatah Melayu ada mengatakan, "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya...." Berapa ramai di kalangan kita, dapat menjaga lidahnya, setelah menbaca tajuk di atas? Bla bla bla..huhuhu ! Kita pun kadang-kadang ada juga mengeluarkan kenyataan yang lazer, yang mungkin mengguris mata yang membaca. Tapi harus percaya, jika mereka membacanya secara positif atau cuba berfikiran positif, pasti mereka tidak akan terasa hati.

Imam Nawawi ada berpesan, kita wajar menjaga lidah daripada bercakap yang sia-sia, kecuali jika percakapan itu mendatangkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baiklah berdiam diri. Hal ini kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatan lidahnya."
(HR : Ibnu Abib-Dunya).

Hadis-hadis Rasullulah SAW mengenai kelebihan diam yang bermaksud ; "Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya." (HR : Abu Naim) "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik, atau diam." (HR : Bukhari dan Muslim) "Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya." (HR : At-Tirmizi)
Bagai ‘Mulut Ayam’ tiada henti bercakap. Mulut ayam atau dari erti kata lain dalam peribahasa yang berbunyi “Mulut bagai ekor ayam dihembus” atau lebih dikenali dalam peribahasa yang lain, “Moncong seperti ekor ayam” bermaksud seseorang yang tidak berhenti-henti bercakap dan juga yang tidak tahu erti diam. Individu ini juga mungkin lebih dikenali dalam masyarakat melayu kita sebagai “Mulut Murai” atau “Banyak mulut”. 

Ada pepatah juga mengatakan ; 'Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak cakap tidak semestinya cerdik.' Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan mendiamkan lidahnya. Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan umat-umatnya tentang LIMA perkara berkaitan hal ini iaitu ;
1. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan semata-mata.
4. Jangan menyebut-nyebut kebaikkan diri dan keluarga. Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita.
5. Jangan sebut-sebut dan menampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain. Kelak keaiban diri juga dikatakan orang.

Baginda SAW juga pernah bersabda ;
“Sesungguhnya orang yang paling aku cintai diantara kalian dan yang paling dekat kedudukannya dengan ku pada hari Kiamat kelak adalah orang yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya dari ku diantara kalian pada hari kiamat kelak adalah Tsarsarun, Mutasyaddiqun dan Mutafaihiqun.” Para Sahabat bertanya : “Kami sudah tahu siapa Tsarsarun dan Mutasyaddiqun, tapi siapakah Mutafaihiqun?” Baginda menjawab : “Orang yang sombong.” (Ash-Shahihah no 791 dan Mukhtashar no 84)
Maksud Tsarsarun ialah orang yang banyak cakap dan maksud Mutasyaddiqun pula ialah mereka yang cakap tanpa berhati-hati. Justeru, sesiapa yang ingin dicintai oleh Rasulullah SAW dan ingin dekat dengannya di akhirat, hendaklah ia memperbaiki perangainya dan bersungguh-sungguh.

KESIMPULAN :
Bercakap-cakap kosong atau perka
ra-perkara yang sia-sia adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak. Bercakap-cakap kini telah ditransfer kepada bentuk-bentuk moden seperti Whatsapp, Telegram, Wechat, Instagram, facebook dan sebagainya... Ancaman dan bahayanya tetap sama seperti bercakap biasa atau mungkin lebih bahaya. Betul tak?
Sama-sama kita fikirkan...
Mudah-mudahan bermanfaat.
Di Dunia Dan Akhirat. Insya-Allah..

Tiada ulasan: