Sabtu, 3 Januari 2015

RAHSIA SOLAT 1


Sumber Gambar : https://www.tokopedia.com/pingbi/puzzle-kayu-wudhu
WUDUK
Misi Rasulullah SAW melalui pendidikan alquran ialah untuk memperbaiki akhlak manusia. Segala ilmu yang terhimpun dalam alquran itu dijelaskan sehingga dapat disaksikan kehebatannya untuk membuatkan manusia bersyahadah/naik saksi. Melalui usaha dakwah yang istiqomah juga ia mampu menundukkan ego manusia melalui penghapusan akhlak jahiliyah yang telah rosak.
Itulah hakikat SYAHADAH, pemahaman dan penyaksian terhadap ilmu tentang makrifatullah dan sunnah Rasulullah SAW. Itulah hakikat dakwah / doa / silah yang menghubungkan ilmu Allah sebagai tarbiyah kepada manusia dalam ibadah SOLAT sepanjang hayat.
Kerana itu dikatakan Solat itu adalah DOA/SERU, satu proses penyucian segala kekotoran jiwa dan akhlak manusia secara menyeluruh. Pada masa yang sama, solat juga adalah tiang agama, sebagai sarana pembangunan Islam. Itulah SILAH, MENGHUBUNGKAN manusia dengan ilmu milik Rabbnya, dihubungkan (silahkan /solatkan /solawatkan) sebagai Doa atau Seruan /Dakwah. Solat itu juga dikatakan Mikraj yang meningkatkan darjat Mukminin. Solat juga mencegah keji dan mungkar.
Seperti yang dijanjikan, JUMAAT ini kami mulakan dengan perkongsian tarbiah solat bahagian pertama, iaitu bagaimana kami tarbiahkan anak-anak RPWP dengan semua rukun dan sunat dalam ibadah solat sebagai bahan pendidikan akhlak untuk mereka.

WUDHUK : PENYUCIAN HAMBA SEBELUM BERSOLAT
Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berdiri melaksanakan solat maka basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu.”- Al-Maidah:6
Di riwayatkan oleh Abu Hurairah r.a : Dari Rasulullah saw. beliau bersabda: “Solat salah seorang di antara kalian tidak akan diterima apabila ia berhadas hingga ia berwudhu “.
Wudhuk merupakan satu proses penyucian diri dan ia terletak di bawah konsep THOHAROH (bersuci). Kerana itu tidak sah jika kita mengerjakan solat tanpa wudhu’.
Pada hakikatnya, jika solat itu adalah gerak kerja dakwah / seruan dengan mencegah keji dan mungkar, seharusnya orang yang sedang melaksanakan seruan itu sendiri sudah dibersihkan terlebih dahulu. Mana mungkin tangan yang kotor mampu membersihkan yang lain..?
Wudhuk ini adalah satu bentuk ritual yang mana kita lakukan pembersihan fizikal terhadap anggota tubuh setiap hari. Kami kembangkan tarbiah ini kepada anak-anak dengan pembersihan spiritual dan rohani, mental dan emosi yang juga melibatkan anggota wudhuk dalam pembentukan akhlak mereka.
Kerana itulah pemahaman biasa mengenai wudhu ialah setiap kali basuh anggota dengan wudhu, akan berguguranlah dosa-dosa kecil ibarat air yang menitis dari anggota itu... 

PENYUCIAN ANGGOTA WAJAH DAN KEPALA
Dalam doa iftitah sewaktu awal bersolat, kita berjanji dan berikrar untuk menjadi hamba yang bersegera dan awal-awal menyahut seruan apabila diseru. Kita juga mengaku akan MENGHADAP wajah dengan menumpukan segala upaya hayat dan amal kita HANYA kepada agama dan fitrah Allah sahaja.
Anggota di kepala/wajah kita ini ada banyak fungsinya. Jika dapat kita sucikan, insyaAllah akan dapat kita gunakan ia untuk tujuan menyeru, berdakwah dan solat /solawat, menghubungkan manusia kepada Allah dan sunnah rasulNya. Jika anggota kita sendiri kotor, pastinya seruan kita akan membawa manusia kepada fahaman regim syaitan lalu sama-sama terjerumus ke neraka.
Berapa ramai yang menjadi korban setiap hari daripada mulut kita? Berapa kali berbohong, memaki, menfitnah dan membicarakan aib orang lain? Berapa banyak benda haram yang dimakan dan diminum? Apa yang diintip oleh mata? Apa yang didengar oleh telinga? dan apa saja yang baru dicium hidung ini?
Adakah sebahagian dari minda dan otak di kepala kita yang bersentuhan dan dibasahi dengan zikir yang sentiasa mengingatkan kita tentang suruhan dan larangan Allah? jika tidak, bagaimana kita boleh kongsikan zikir itu untuk mengingatkan orang lain agar meninggalkan larangan dan melaksanakan suruhan Allah?
Sesungguhnya semua ini memerlukan satu penegasan dan penekanan untuk mencapai hakikat solat yang sempurna.
Jika mulut masih kotor, bagaimana seruan dari mulut itu mampu menyucikan hati yang lain? Jika telinga masih mendengar yang kotor, bagaimana kita boleh mendapat input yang suci untuk disampaikan kepada yang lain? Jika hidung masih menghidu salah orang (tajassus) atau mencari-cari tempat atau bahan yang busuk untuk berpoya-poya, bagaimana mungkin akan mampu menghidu ilmu yang baik dan wanginya taman syurga?
Menyucikan fahaman, kekotoran dalam diri melalui wajah adalah satu ritual dengan tuntutan actual agar kita membuang segala fahaman lama yang masih menjadi sembahan dalam diri kita. Jika Allah bukan menjadi satu asbab dan FOKUS dalam kehidupan kita, maka sia-sia sahaja kita berwudhuk walaupun sepanjang hari. Kita boleh lihat bagaimana manusia yang focus terhadap kerja sampai boleh lupa urusan makan dan minum pun... tetapi berapa ramai yang mampu fokus sebegitu kerana ALLAH?

PENYUCIAN ANGGOTA TANGAN DAN KAKI
Tanpa ilmu yang di alirkan kepada kaki dan tangan seorang hamba yang bekerja, bagaimana kita mengharapkan segala tindak tanduk kita di dunia benar-benar mengikut pentunjuk Allah?.
Oleh itu, untuk melaksanakan segala perintah Allah, maka anggota tubuh yang penting ini wajib disucikan dengan kefahaman yang betul tentang pelaksanaan pembangunan Islam yang sebenar.
Dalam Surah 48 al-Fath: 10, Allah telah mengikat perjanjian dengan orang beriman bahawa tangan mereka adalah tangan Allah. Mana mungkin kita mampu membawa amanah Allah, sesuatu yang suci jika tangan masih kotor dan jiwa masih fasiq.
Air adalah ibarat sarana ilmu dan tarbiah yang dialirkan kepada tangan dan kaki untuk manusia cuci tangan daripada dosa dan agar tangan itu tahu menggalas tanggungjawab.
Demikian juga peranan kaki yang melangkah dan membawa diri kita samada ke syurga ataupun ke neraka. Manusia dikenali sebagai orang-orang yang berdosa dari tanda-tandanya, lalu tanda itu juga dipegang dari kepala dan kaki-kakinya.
Hari ini kaki betina, kaki pukul, kaki rempit, kaki penipu, kaki arak, kaki judi dan sebagainya masih lagi Islam, masih berwudhuk dan solat, masih berpuasa, malah masih menyambut hari raya. Walaupun Islam, namun mereka masih lagi cenderung kepada maksiat dengan mengikut langkah-langkah syaitan. Wajarkah begitu?

KESIMPULAN
Solat tidak akan mampu mencegah keji dan mungkar jika tidak ada ilmu yang mengisi kejahilan dan selagi ruang kotor dalam diri belum dicuci dan disucikan.
Ritual Wudhuk yang kita laksanakan ini adalah satu bentuk peringatan secara fizikal, supaya kita nampakkan kesannya dalam solat. Berbuat sesuatu biar dengan ilmu, bukan ikut-ikutan. Akan jadi lebih berkesan tarbyah solat melalui amalan wudhuk ini kepada pembentukan akhlak anak-anak jika kita dapat kembangkan ia ke peringkat hakikat dan rahsia kerohaniannya.
Wudhuk menjadi tertib awal dalam memastikan anggota kita tahu fungsi dan peranan masing-masing dalam menggerakkan anggota badan secara berjemaah. Islam itu tidak tertegak dengan sendiri melainkan dengan kekuatan berjemaah. Begitu juga dalam usaha membangunkan jemaah dan masjid /rumah Allah.
Nabi Ibrahim dan Ismail telah bersama-sama bekerja membina Baitullah. Peranan kerjasama dalam membina satu tempat sujud dan kiblat untuk difokus oleh kita untuk usaha menegakkan agama dalam diri dan komuniti. Wajah perlu disucikan kembali dengan fokus kefahamannya kepada agama yang lurus dan ikhlas. Tangan dan kaki harus disucikan kembali untuk bekerja dan melangkah membangunkan agama yang haq.
Muka adalah bahagian yang mencerminkan wajah yang menzahirkan sikap dan perasaan individu. Daripada wajah manusia juga boleh menunjukkan tahap keihlasan mereka dalam menghambakan diri mengikut system dan aturan Allah.
“Hadapkanlah wajah kepada agama dengan lurus, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang musyrik”. (QS:10:105). Demikian beratnya kesan akibat jika kita gagal mengurus dan menfokuskan wajah, iaitu MUSYRIK… Nauzubillahi minzaalik.
Apa yang kami kongsikan sekadar satu cetusan bagaimana kami mantapkan kefahaman dari ritual wuduk ini untuk mendidik akhlak anak-anak agar mampu menjadi umat Islam yang suci lagi mampu membantu menyucikan yang lain semampunya.
Ini bukannya satu ketetapan dan anda boleh kembangkan mengikut tahap ilmu masing-masing untuk menambah keberkesanannya.
Semoga bermanafaat. WARGA PRIHATIN.

Perkongsian dari FB KUASA SOLAT

Tiada ulasan: